Memasuki tahun kelima pe­nganjurannya, Nabil menceritakan AME kali ini tampil dengan pelbagai keistimewaan termasuk siri jelajah promosi dan lawatan eksklusif termasuk berkunjung ke Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad hari ini.

“Lawatan hari ini bukan sekadar untuk beramah mesra dengan pengamal media tetapi mengalu-alukan para wartawan hadir ke AME 2018 bagi sama-sama meme­riahkan malam anugerah tersebut.

“Selain mengedarkan kad undangan, pihak penganjur iaitu Astro turut membawa barisan finalis yang dicalonkan dalam AME 2018,” ujar Nabil kepada Utusan Malaysia.

Dalam kunjungan itu, Nabil dan Neelofa turut disertai Ketua Strategi Kandungan dan Inovasi Astro, Namanzee Harris serta beberapa finalis AME 2018 seperti Aqiem Rusli, Kumpulan Xpose, pelakon Fendi Bakry serta pasa­ngan selebriti Tya Ariffin dan Asyraf Khalid bersama anak mereka, Arif Jiwa.

Kesemua mereka turut me­nyampaikan undangan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak serta Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Sementara itu Neelofa pula berharap AME 2018 dapat mencapai satu standard yang lebih baik berbanding penganjuran terdahulu.

Kata usahawan dan selebriti jutawan itu, penganjuran AME memberikan pemahaman berhubung apresiasi stesen televisyen Astro terhadap sokongan peminat-peminat dalam industri hiburan tempatan.

“AME 2017 telah merekodkan satu pencapaian yang bagus serta mempunyai kelas tersendiri. Jadi tahun ini, kami mahu melihat peningkatan dalam penganjurannya,” jelasnya.

Bagi Namanzee Harris pula, AME 2018 begitu signifikan de­ngan industri hiburan masa kini kerana merupakan acara yang diwujudkan untuk menghargai artis dan peminat.

“Dari sudut lain, pihak Astro menjadikan AME sebagai platform untuk kami menghargai artis, peminat dan kru produksi yang selama ini membanting tulang bagi menjayakan setiap program kami,” ujarnya.