Melalui MySalam, katanya, kerajaan Persekutuan berhasrat untuk membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa salah satu daripada 36 penyakit kritikal yang tidak diduga.

Dr Mahathir ketika melancarkan skim itu di Kementerian Kewangan di sini berkata kerajaan menjangkakan seramai 3.69 juta rakyat yang berumur 18 sehingga 55 tahun layak menerima manfaat daripada skim itu.

Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan Pakatan Harapan merasai keperitan yang ditanggung oleh rakyat yang hilang mata pencarian akibat sakit atau kemalangan.

"Bagi golongan B40, terutamanya mereka yang bekerja sendiri atau memperoleh gaji harian, tuntutan takaful yang diterima daripada skim mySalam ini boleh memberi kelegaan sementara bagi membantu mengekalkan keperluan hidup dan perbelanjaan harian, sementara menjalani rawatan perubatan yang diperlukan," katanya.

Dr Mahathir berkata skim mySalam diperkenalkan dengan sumbangan permulaan sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern.

Beliau berkata skim itu juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman dalam kalangan B40 mengenai perlindungan insurans dan takaful.

“Skim mySalam yang diperkenalkan oleh kerajaan ini merupakan satu langkah yang signifikan untuk merangka sebuah dasar pembangunan kewangan yang lebih inklusif di Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir berkata walaupun beban kewangan yang diwarisi adalah besar dan berat, namun ia tidak akan menjadi halangan untuk kerajaan memperkenalkan program-program mesra rakyat seperti skim mySalam.

“Walaupun kelihatan berdikit dan agak hati-hati di dalam melaksanakan program-program ini, kerajaan akan memastikan usaha tersebut mencapai golongan sasaran dan mereka yang memerlukan akan menerimanya.

“Kita akan berusaha sedaya upaya untuk menjana dana untuk meringankan beban rakyat jelata dan untuk mencapai matlamat itu, kita turut mengambil langkah-langkah inovatif dan alternatif. Usaha ini telah membuahkan hasil untuk membantu rakyat,” katanya. - BERNAMA