Semua ibu bapa dan pelajar perlu melihat kedudukan Sistem Pengukuran Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST) untuk memastikan tahap pendidikan ditawarkan memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md. Isa berkata, sistem tersebut perlu ada pengukuran penarafan yang akan dibuat berdasarkan penilaian laporan kolej, laporan kluster dan laporan pelajar antarabangsa.
“Jika sebelum ini, kita sudah mempunyai Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (Setara) untuk mengukur pencapaian universiti dan kolej universiti, maka MyQUEST pula untuk kolej-kolej swasta sedia ada.
“Proses penarafan terhadap kolej-kolej swasta ini diperlukan untuk meningkatkan lagi kualiti institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini,” katanya kepada S2.
Beliau berkata, langkah itu dapat memastikan sistem pengajian tinggi negara terus mencapai kualiti yang ditetapkan dan seterusnya menjadi hab pengajian tinggi global.