Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, MyIHAB merupakan titik permulaan untuk negara ke arah mewujudkan Lembaga Akreditasi Halal Antarabangsa.

Menurutnya, MyIHAB berfungsi sebagai sistem permohonan pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Antarabangsa secara dalam talian dengan pengurusan pangkalan datanya berpusat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Usaha tersebut menunjukkan kerajaan amat memberi penekanan dalam berperanan sebagai badan pensijilan halal ke arah memperkasakan Pensijilan Halal Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam sempena Konvensyen Badan Pensijilan Halal Kelapan di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha.

Ahmad Zahid yakin, melalui sistem MyIHAB, aspek-aspek integriti, kesaksamaan, kerahsiaan dan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan pengertian halal akan menjadi keutamaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sikap seumpama itu penting sebagai tanggungjawab untuk menjamin kredibiliti pihak yang mengesahkan pengiktirafan halal selain memberi keyakinan kepada pelanggan sama ada Islam dan bukan Islam.

“Sememangnya menjadi harapan dan visi kerajaan bahawa industri pensijilan halal mempunyai masa depan yang cerah selain terus mendapatkan kepercayaan yang tinggi daripada pelbagai pihak pada masa akan datang.

“Setakat ini, negara menyasarkan sejumlah RM40 bilion pendapatan daripada industri eksport halal terutama dari negara-negara Asia Tenggara, Asia Barat, China dan beberapa negara lain,” ujarnya.

Jelasnya, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pemimpin halal global menjelang 2020, Jakim juga mengambil langkah proaktif untuk memperluaskan skop pensijilan oleh Sijil Halal Antarabangsa.

Sementara itu, dalam majlis sama, beliau melancarkan buku Mabims Harmonisation of Halal Standard yang dihasilkan melalui gabungan usaha Jakim, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Jabatan Standards Malaysia dan Kumpulan Bank Pembangunan Islam. - UTUSAN ONLINE