Sistem berkenaan yang dibangunkan oleh syarikat dalam bidang teknologi keselamatan biometrik, Datasonic Group Berhad itu mempunyai gabungan teknologi biometrik masa depan yang boleh diakses menggunakan platform seperti imbasan wajah, mata, ibu jari dan Infrastruktrur Kunci Awam (PKI).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sheikh Harun Mustafa berkata, MyIDM merupakan sistem pengimbas paling canggih yang membolehkan pengguna mengetahui dengan siapa transaksi dilakukan terutama melibatkan data perbankan.

"Sistem ini boleh membuat imbasan wajah yang boleh dikesan dengan beberapa saat bagi mengelakkan para pengguna tertipu seperti data perbankan.

“Syarikat kami menawarkan penyelesaian menyeluruh dalam bidang keselamatan awam dan fizikal yang lebih bersepadu,” katanya dalam sidang akhbar selepas taklimat sempena ‘Bengkel Kemajuan Keselamatan, Mykad dan Pasport’ di Hotel Royal Chulan di sini hari ini.

Seramai 50 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terdiri daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) terlibat dalam bengkel selama sehari itu yang turut membincangkan berkenaan ‘National Digital Identity’ dan sistem kamera litar tertutup (CCTV). - UTUSAN ONLINE