Ketua Komunikasi dan Ekosistem Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Ali Hanafiah Mohd. Yunus berkata, edisi kelima pertandingan itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan aplikasi yang menggunakan analisis data agar dapat memperbaiki aspek penjagaan kesihatan, kelestarian kehidupan di luar dan di rumah.

"Ini seiring dengan momentum Internet of Things (IoT) yang semakin pesat di seluruh dunia dengan fokus utamanya untuk memperbaiki kesejahteraan hidup.

"MyDD adalah satu platform yang terbaik untuk para pembangun perisian mendapatkan peluang mendapatkan bantuan; nasihat dan perkongsian pengalaman daripada pakar-pakar industri dari seluruh dunia," jelas beliau.

Tambah Ali Hanafiah, para peserta pertandingan berkenaan akan diberikan bimbingan oleh mentor dan pakar teknologi SKMM dan AT&T bagi membantu mereka membangun perisian masing-masing sepanjang acara ini berlangsung.

Jelas beliau, pengalaman yang diperolehi dalam pertandingan yang berlangsung selama 24 jam anjuran bersama SKMM dan syarikat komunikasi Amerika Syarikat, AT&T berkenaan turut boleh dijadikan panduan untuk para peserta digunakan sekiranya mereka mahu menceburi bidang keusahawanan teknologi.

Peserta pertandingan yang diadakan bermula hari ini hingga 12 Ogos tersebut turut diberikan laluan kepada perkakasan yang diperlukan bagi mereka membina aplikasi aplikasi yang berkaitan seperti platform pembangunan M2X IoT dan pustaka imej Inmagine AT&T.

Pemenang pertandingan yang diadakan di Bangunan SKMM di sini itu akan membawa pulang hadiah wang tunai AS$10,000 (RM43,000) dan biasiswa Nanodegree sumbangan rakan-rakan penganjur. - UTUSAN ONLINE