Beliau berkata MyDAMS akan membolehkan pengurusan keselamatan kesemua 104 empangan dijalankan secara sistematik setanding dengan pengurusan empangan di peringkat antarabangsa.

“Sebelum ini empangan di negara ini dimiliki oleh operator yang berbeza. Ada yang dimiliki kementerian, ada yang dimiliki kerajaan negeri serta mempunyai garis panduan pengurusan keselamatan yang berbeza, kita mahu satu garis panduan khusus bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) ke-12 di Bangunan Parlimen hari ini.

MSAN ke-12 itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut disertai menteri besar, ketua menteri serta wakil-wakil kerajaan negeri.

Wan Junaidi berkata penyelarasan garis panduan ini penting kerana apabila berlaku kejadian seperti empangan pecah dan sebagainya ia boleh mendatangkan bencana besar kerana terdapat kawasan empangan berada di kawasan kediaman penduduk.

Katanya, pemantauan ke atas 104 empangan di seluruh negara juga sedang dilakukan secara berperingkat bagi memastikan garis panduan itu diguna pakai dengan efektif kelak. - BERNAMA