Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucaptama Sesi Tergempar Majlis Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di Myanmar berkata, semua negara anggota pertubuhan itu sepakat menggesa kerajaan negara terbabit untuk membuka laluan bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan di kawasan terlibat.

Pada masa sama, beliau menegaskan, kerajaan Myanmar diminta memberikan jaminan kepada pelarian etnik berkenaan untuk pulang ke tempat asal mereka secara selamat.

“Saya menyeru OIC atas nama dan semangat persaudaraan Islam untuk memperakukan bahawa ini adalah tanggungjawab kolektif untuk membantu saudara kita di wilayah Rakhine.

“Adalah penting untuk kita melakukannya dengan apa cara yang boleh untuk menyelamatkan mereka yang telah lama menderita daripada tragedi kemanusiaan ini seterusnya membantu mereka menyediakan masa depan yang lebih selamat,” katanya di hadapan 57 pemimpin negara OIC di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman dan Setiausaha Agung OIC, Dr. Yousef Ahmad al-Othaimeen.

Pada persidangan berkenaan, Perdana Menteri turut mengumumkan Malaysia akan menyumbang RM10 juta untuk membantu misi kemanusiaan dan projek rehabilitasi sosial di wilayah Rakhine.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sentiasa konsisten me­nyua­rakan keprihatinan berhubung nasib Rohingya dan akan berterusan menyediakan bantuan kemanusiaan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain memberikan tempat perlindungan di negara ini sementara me­nunggu penempatan semula oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) atau lebih baik mereka selamat pulang kembali ke Myanmar.

Beliau menjelaskan, bantuan berkenaan bukan hanya terhad kepada masyarakat Islam malah turut diberikan kepada semua yang memerlukan di kawasan yang berlaku kekejaman itu.

“Ketika ini Mercy Malaysia telah berjaya membangunkan klinik statik dan bergerak di Sittwe, Rakhine dengan kerjasama NGO tempatan lain dalam usaha berterusan memberikan perkhidmatan kesihatan selain bakal menghantar misi Food Flotilla for Myanmar.

“Dana RM10 juta itu akan digunakan untuk membina infrastruktur seperti pendidikan dan ins­titusi perubatan yang mampu menyumbang kepada pembangunan kehidupan masyarakat di sana termasuk meneruskan sokongan terhadap pembangunan sumber manusia melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), dan Myanmar adalah penerima terbesar program itu,” katanya.

Perdana Menteri turut menya­takan suara isi hatinya sendiri atas dasar persahabatan lama dengan Myanmar bahawa inilah masanya bagi negara tersebut menghentikan krisis kemanusiaan itu.

“Bagaimana ini perlu diselesaikan? Sebagai permulaan, pembunuhan perlu dihentikan. Pembakaran rumah-rumah penduduk perlu dihentikan. Keganasan terhadap wanita perlu dihentikan. Penafian hak asasi manusia ini perlu dihentikan.

“Saya nyatakan perkara ini kepada rakan kita Myanmar, serlahkan tradisi dan sejarah negara anda dan berikan pertimbangan adil terhadap kata-kata bapa kemerdekaan anda, Aung San pada tahun 1946,” katanya.