Presidennya, Muhammad Jantan berkata, misi sempena musim sejuk selama 10 hari dengan kerjasama Global Peace Malaysia itu akan disertai tiga hingga lima sukarelawan.

Jelas Muhammad, dengan adanya sumbangan dana, mereka akan membawa bantuan baju sejuk dan kotak makanan untuk diagihkan kepada kira-kira 6,000 rakyat Syria di kem pelarian terbabit.

"Pengalaman misi musim sejuk sebelum ini banyak mengajar kita kerana ada bayi yang meninggal dunia akibat kesejukan. Oleh demikian, dalam misi ketiga ini kita memfokuskan bantuan baju sejuk dan selimut.

"Kita tidak menghantar ramai sukarelawan kerana tujuan utama adalah untuk menyalurkan bantuan, bukannya mengadakan lawatan," katanya selepas majlis pengenalan lima Ikon MVM tahun 2019/2020 dan Winter Mission 3.0.

Lima ikon MVM yang terpilih ialah pendakwah terkenal, Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim; penyanyi dan usahawan, Noorsyarmilla Jirin atau Mila, kumpulan nasyid, Inteam; pendakwah Milenia Musim Kedua, Ahmad Izzhar Ahmad Nazri dan Ketua Pegawai Eksekutif De’Xandra, Ernayanee Nur Julaimi.

Sementara itu, Ahmad Izzhar berkata, dia berterima kasih apabila dipilih sebagai ikon MVM dan melihat ia adalah usaha serta sumbangan dalam hal kebajikan selain dapat berbakti kepada masyarakat yang memerlukan.

"Perjalanan sebagai ikon bukan suatu perkara yang mudah dan pastinya akan menghadapi kesusahan tetapi dengan kerjasama semua moga kita terus istiqomah dan membantu dalam melakukan kebaikan," ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan atau bantuan boleh melayari laman sesawang donation MVM di https://donation.mvm.org.my/ - UTUSAN ONLINE