Malah, kepentingan muzakarah itu juga diakui dengan penglibatan peserta dari luar negara seperti Kemboja, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei selain peserta negara ini iaitu Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (Pekta) dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas).

Berkongsi pengalaman menyertai muzakarah itu, Pekta Perlis, Ramli Ibrahim berkata, beliau banyak berkongsi ilmu dan pengalaman daripada peserta pelbagai negara dalam urusan pelaksanaan ibadat haji sekali gus memantapkan lagi pengetahuan mengenainya.

Beliau yang sudah enam kali menyertai muzakarah tersebut menambah, program itu banyak merungkai permasalahan yang dihadapi jemaah haji saban tahun seterusnya mencari jalan penyelesaian supaya ibadat tersebut dapat dilaksanakan dengan sempurna oleh jemaah haji.

“Apa yang dibincangkan di dalam muzakarah ini akan dibawa ke dalam kursus-kursus haji yang dilaksanakan di peringkat negeri.

“Segala permasalahan hukum terkini berkaitan ibadat haji dikupas dengan mendalam bagi mengelak timbulnya pertikaian atau percanggahan dalam perkara-perkara tertentu yang mungkin boleh menyebabkan jemaah haji keliru,” katanya ditemui pemberita ketika menyertai Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-34 yang diadakan di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, bagi Pihtas Negeri Sembilan, Yusnah Yusof, meskipun sudah menyertai muzakarah tersebut sebanyak 13 kali namun beranggapan masih banyak permasalahan berkaitan haji yang boleh dipelajari dan difahami.

Katanya, muzakarah itu bukan sekadar berkongsi tentang masalah haji tetapi turut memberi tumpuan tentang penyelarasan dan penilaian hukum sedia ada bertujuan memantapkan lagi kefahaman jemaah haji mengenainya.

“Hukum haji ini hidup mengikut keadaan dan suasana, jadi bila diadakan muzakarah di sinilah tempat kita berbincang dan mencari kesimpulan dan menyelaras supaya semua pembimbing dapat keluarkan satu hukum sama,” katanya.

Ditanya berkenaan kos haji yang masih ditetapkan kerajaan sekitar RM9,000 berbanding kos sebenar yang mencecah RM20,000, Yusnah beranggapan perkara itu adalah kelebihan dan keistimewaan yang wajar dihargai setiap jemaah di negara ini.

“Harga yang ditetapkan kerajaan ini sangat berpatutan mengambil kira tempoh jemaah haji berada di tanah suci selain perkhidmatan lain yang disediakan Tabung Haji bermula di peringkat awal sebelum menunaikan ibadat tersebut sehinggalah mereka selesai dan pulang ke tanah air,” katanya.

Dalam pada itu, bagi peserta muzakarah luar negara dari Kemboja, Dr. Sos Norun, beliau melahirkan rasa kagum dengan peranan Tabung Haji menguruskan jemaah haji negara ini termasuk dengan menganjurkan muzakarah.

Menurutnya, jemputan menyertai muzakarah bersama Tabung Haji disifatkan sebagai peluang keemasan bagi umat Islam dari Kemboja sepertinya yang mana urusan berkaitan haji hanya dilakukan menerusi syarikat swasta atau ejen.

“Di Kemboja kemudahan seperti ditawarkan Tabung Haji tidak ada di sana, jadi kami umat Islam perlu berdikari malah kos untuk menunaikan ibadat haji juga sangat mahal iaitu antara RM15,000 hingga RM18,000 yang perlu dibuat menerusi ejen,” katanya.

Pengalaman serupa dikongsi peserta dari Thailand, Dr. Amin Chenu yang menyifatkan peluang menyertai muzakarah itu membantunya memantapkan kefahaman mengenai ibadat haji seterusnya dibawa pulang untuk berkongsi dengan umat Islam di negaranya.

Malah, beliau secara peribadi beranggapan pengurusan haji di Malaysia sangat jauh ke hadapan berbanding di Thailand terutama dengan adanya Tabung Haji yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji negara ini.

“Di Thailand urusan untuk ke Mekah dan Madinah juga dibuat menerusi ejen atau syarikat dengan bayaran yang hampir dua kali ganda berbanding di negara ini iaitu antara RM20,000 hingga RM25,000,” katanya.

Bagi peserta dari Singapura pula, Hayati Haron, beliau yang pertama kali menyertai muzakarah bersama Tabung Haji turut mengambil peluang berkongsi permasalahan berkaitan ibadat tersebut yang sering dihadapi umat Islam di negara berkenaan.

Menurutnya, banyak perbezaan dalam pengurusan haji antara Malaysia dan Singapura yang mana negara berkenaan bergantung kepada tenaga sukarelawan bagi pengurusan jemaah haji memandangkan bilangan jemaahnya yang kecil.

“Kami juga perlu melalui proses urusan haji dengan syarikat yang menawarkan pakej haji dengan harga sekitar RM21,000 hingga RM45,000,” katanya.