Menurut Mustapa, sokongan dan dorongan pelbagai pihak amat dihargai namun beliau mengakui tidak mempunyai kemampuan dari segi fizikal dan kewangan untuk bertanding merebut dua jawatan tertinggi dalam parti berkenaan.

“Saya sekarang ini sedang mempertimbang untuk bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) tapi setakat ini saya belum lagi mendaftarkan diri sebagai calon.

“Saya sudah maklumkan kepada Datuk Lan (Ahmad Jazlan Yaakub) dan kepimpinan negeri yang lain bahawa saya tidak berhasrat bertanding jawatan tertinggi dalam parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis ‘Santai Colek’ bersama kira-kira 50 pengamal media yang bernaung di bawah Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Presiden Kemudi, Azran Fitri Abdul Rahim.

Mustapa yang merupakan Ahli Parlimen Jeli sebelum ini dikatakan salah seorang daripada dua pemimpin dari negeri ini yang disebut-sebut wajar menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.

Selain Mustapa, seorang lagi ialah Ketua UMNO Bahagian Gua Musang yang juga tokoh dan veteran parti paling lama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di negara ini iaitu Tengku Razaleigh Hamzah. - UTUSAN ONLINE