Presidennya, Amanullah Maideen berkata, harga makanan atau barangan yang dijual mengikut nilai pasaran semasa dan adalah mustahil sekiranya harga tersebut boleh mengalami penurunan secara serta-merta.

“Tidak logik kalau harga barang boleh turun serta-merta kerana harga minyak petrol baru sahaja diumumkan turun semalam. Kalau pemborong beli mahal, mesti dijual dengan harga yang mahal juga, tiada kena mengena dengan petrol.

“Dulu kita sudah berbincang perkara ini dan contohnya kalau kita beli barang RM10 mesti jual dengan RM12, kalau beli dengan harga RM12 perlu jual dengan RM18. Buat masa ini, harga barang kekal seperti biasa dan mungkin turun pada masa akan datang, cuma tidak tahu bila masanya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya semalam berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan berusaha memastikan kos sara hidup rak­yat turun sejajar dengan jangkaan penurunan harga barang selepas penurunan harga petrol sebanyak 27 sen dan diesel sebanyak 14 sen bermula semalam.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin mencadangkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyemak kembali kenaikan harga dan kos logistik bagi penghantaran barangan daripada pembekal dan pemborong.

“Masalahnya sekarang apabila harga petrol, kadang-kadang penghantar barangan tidak menurunkan harga mereka.

“Sekarang ini kosnya mence­cah sehingga lima peratus, jadi kalau dapat diturunkan kepada tiga hingga empat peratus pun sudah memadai,” ujarnya.