Dia yang berasal dari Kampung Parit 5, Sungai Sumun, Bagan Datuk, Perak, berkata tiada yang lebih menggembirakan dalam hidupnya melainkan dapat beribadah di Tanah Suci ini, di mana impian yang ditunggu sejak sekian lama.

“Alhamdulillah, gembiralah. Syukur­lah dan alhamdulillah sangat-sangat dapat datang ke sini (Mekah),” katanya kepada wartawan Malaysia di maktab penginapan di Zwar Al Bit, di sini hari ini.

Dia merupakan antara jemaah haji Malaysia yang paling tua di Tanah Suci ini.

“Anak-anak sukalah dan semuanya sihat. Makcik datang dengan anak saudara. Suka sangat datang ke sini,” katanya sambil memberitahu makanan di sini semuanya sedap dan menyelerakan.

Katanya, anak-anaknya bersama mengumpulkan wang untuk membolehkannya datang mengerjakan haji ini.

“Tidak payahlah risau-risau, kita sihat sahaja di sini,” ujarnya lagi.

Kegigihan dan semangat yang ditunjukkan oleh Muslikah, kini menjadi inspirasi kepada jemaah haji lain untuk lebih bersemangat dalam mengerjakan pelbagai aktiviti ibadah dalam musim haji ini.

Sementara itu, pengiringnya yang juga anak saudaranya, Jaimah Selamat, 62, berkata, dia bersyukur kerana sepanjang menjaga ibu saudaranya itu, warga emas itu mampu melaksanakan ibadahnya sendiri biarpun berkerusi roda.

“Memang saya mahu menolak kerusi roda yang dinaikinya sendiri supaya dia dapat merasai bertawaf di hadapan Kaabah, selain melakukan sai’,” katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana ibu saudaranya itu berada dalam keadaan sihat dan semangatnya begitu kuat untuk melakukan aktiviti ibadah di Masjidilharam ini. – Utusan