Lebih istimewa, Jalur Gemilang itu dicat sendiri oleh 40 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan dibantu 13 guru.

Guru Besar sekolah tersebut, Sharuddin Mohamad berkata, proses untuk menghasilkan Jalur Gemilang itu mengambil masa kira-kira dua minggu dengan kos keseluruhan RM600.

“Kerja-kerja mengecat bendera dilakukan selepas pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan bantuan dan tunjuk ajar daripada guru yang diketuai Penolong Kanan Pendidikan Khas, Zaidee Jusoh.

“Proses ini sedikit mencabar memandang mereka adalah murid PPKI yang memerlukan tunjuk ajar sepenuhnya. Kita juga perlu perbaiki semula apa yang mereka tersalah buat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Bulan Kebangsaan Peringkat Sekokah Tahun 2018 di SK Dewan Beta di sini hari ini.

Sharuddin berkata, Jalur Gemilang berkenaan turut diarak sejauh dua kilometer mengelilingi kampung di sekitar sekolah.

“Tujuan utama kita menghasilkan Jalur Gemilang ini adalah untuk melahirkan semangat pariotisme dalam kalangan murid-murid.

“Bila buat program sebegini, mereka kenal apa itu Jalur Gemilang dan ia sekali gus dapat meningkatkan jati diri serta menimbulkan perasaan sayangkan negara,” katanya.

Tambah beliau, selain murid, guru-guru di sekolah ini juga tidak melepaskan peluang memeriahkan lagi menyambut bulan kebangsaan dengan berpakaian tradisional.

“Antara pengisian lain yang diadakan oleh pihak sekolah sempena Bulan Kebangsaan 2018 termasuklah pertandingan pakaian patriotik, pertandingan basikal berhias, persembahan guru serta murid dan sebagainya,” katanya. - UTUSAN ONLINE