Dia yang mengalami masalah itu sejak berusia setahun, dipilih menerima anugerah terbabit selepas membaca lebih 80 bahan bacaan sejak di tahun empat.

Murid Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu itu berkata, dia mengambil masa selama tiga bulan untuk mempelajari kaedah pembacaan menggunakan Braille.

“Sejak berusia lapan tahun saya sudah minat membaca hasil tunjuk ajar ibu bapa dan guru yang tidak putus-putus memberikan dorongan.

“Walaupun cacat penglihatan, namun saya masih mahu membaca meskipun mengambil masa yang lama kerana banyak ilmu dapat saya peroleh menerusi pembacaan,” kata anak tunggal itu.

Dia ditemui selepas menerima Anugerah Nilam Kebangsaan 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan, Zaidi Yazid dan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Abd. Wahab Ibrahim.

Selain Kong Meng Fatt, lima pelajar pendidikan khas turut menerima anugerah tersebut iaitu Saw Xin En (Kurang Upaya Penglihatan Perempuan), Ahmad Syamil Adzwan Syamsul Adzrol (Kurang Upaya Pendengaran Lelaki) dan Chua Pei Wen (Kurang Upaya Pendengaran Perempuan).

Selain itu, Muhammad Nabil Aimi Adresifi dan Nurul Saadah Hafni Che Husin masing-masing menerima anugerah yang sama dalam kategori Masalah Pembelajaran Lelaki dan Perempuan.

Hasil kejayaan tersebut melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai RM500, tablet, sijil dan cenderamata.

Dalam majlis tersebut, seramai 26 murid dari 26 buah sekolah di seluruh negara terpilih ke pertandingan peringkat kebangsaan yang menyaksikan lima kategori dipertandingkan iaitu Sekolah Rendah Kategori Bahasa Melayu, Sekolah Rendah Kategori Bahasa Inggeris, Sekolah Menengah Kategori Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Kategori Bahasa Inggeris dan Pendidikan Khas. – UTUSAN ONLINE