Idea menarik itu dicetuskan oleh Ibrahim Anon, 50, atau lebih dikenali sebagai Ujang yang turut dibantu lima pelukis lain yang melakar watak popular dalam majalah berunsur kartun, Ujang.

“Mural ini menonjolkan imej kekeluargaan, cara hidup di kampung terutama budaya di negeri ini yang sinonim dengan pengamalan Adat Perpatih.

“Ia memaparkan watak kartun popular seperti Atuk, Aca dan watak Ujang yang cukup sinonim dan dekat dengan diri saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Pelancaran Mural Ujang di Terminal 1, di sini hari ini.

Yang hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd. Halim Abd. Latif.

Kartunis yang berasal dari Juaseh, Kuala Pilah itu memulakan kerjaya sebagai kartunis di majalah Gila-Gila pada tahun 1982 selain menghasilkan beberapa karya hebat termasuklah Aku Budak Minang, Jibam, Aca dan Atuk.

Ujang bersama pasukannya melakar mural sepanjang 12 meter itu selama enam hari bermula 26 Oktober lalu. Projek tersebut dihasilkan dengan kerjasama MPS.

“Saya berbangga dapat menyumbang sesuatu kepada negeri kelahiran saya setelah lebih 30 tahun terlibat dalam bidang ini,” ujarnya.

Sementara itu, Abd. Halim memberitahu, lukisan mural tersebut merupakan projek pertama antara pihak berkuasa tempatan di negara ini dengan Ujang.

“Usaha terbaharu MPS itu bertujuan menjadikan Seremban sebagai tempat menarik untuk dikunjungi. Saya percaya, dengan adanya mural seperti ini pastinya lebih ramai pelancong akan datang ke Negeri Sembilan,” katanya.