Jurucakap Mulvec 2017 berkata, lanjutan itu bagi memberi lebih masa kepada peserta membuat persiapan tambahan bagi memastikan karya benar-benar mampu bersaing dengan penyertaan lain.

“Berdasarkan perancangan awal, peserta perlu menghantar sebelum 15 Mei ini, namun setelah mengambil kira beberapa faktor, urusetia setuju melanjutkan tarikh akhir kepada 31 Mei ini,” katanya hari ini.

Mulvec yang terbuka kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta, serta Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Pendidikan Guru menawarkan hadiah tunai terkumpul RM84,000 merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dan Utusan Online.

Ia dibahagikan kepada tiga siri, iaitu Siri 1 yang berakhir 15 Februari lalu, Siri 2 (1 Mac - 15 Mei) dan Siri 3 (1 Jun - 15 Ogos). Sebanyak lima tema ditetapkan dalam setiap siri dan setiap karya penyertaan perlu dihasilkan selari dengan tema tersebut.

Pemenang tempat pertama bagi setiap siri bakal membawa pulang wang tunai RM10,000, RM5,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga).

Penyampaian hadiah bagi Siri 1 akan diadakan pada 17 Mei ini di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Maklumat lanjut layari www.utusan.com.my/mulvec.