KEADAAN Muhammad Shahrul Irfan Nor Shamsul yang mengalami kesakitan pada bahagian mulut dan seluruh badan di Kulim, Kedah semalam.

Muhammad Shahrul Irfan Nor Shamsul, 5, yang sepatutnya memasuki prasekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Ular kini menanggung kesakitan kerana badannya dipenuhi gelembung air bisa.

Lebih malang, kanak-kanak berkenaan terpaksa menggunakan tiub yang dimasukkan ke hidungnya bagi menyalurkan makanan selepas mulutnya bengkak dan bernanah.

Bapanya, Shamsul Abdul Rahman, 43, mendakwa penderitaan anak ketiganya itu bermula selepas dibawa mendapat rawatan di hospital ber­kenaan akibat kepalanya luka terkena kipas siling di rumah mereka pada 3 Disember lalu.

“Selepas seminggu berada di wad, dia dibenarkan keluar dan pihak hospital membekalkan sebotol ubat cecair yang perlu diminum bagi mengelak serangan sawan.

“Walaupun memaklumkan anak saya tidak pernah berdepan sebarang penyakit sebelum ini termasuk sera­ngan sawan, namun saya diarah memastikan ubat tersebut dihabiskan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Shamsul yang bekerja sebagai pemandu lori ais berkata, selepas seminggu menggunakan ubat itu, mulut anaknya mula membengkak dan bernanah selain gelembung air bisa memenuhi badan dan mukanya menyebabkan dia sering menangis kesakitan.

Bimbang sesuatu yang buruk menimpanya pada 18 Di­sember saya membawa dia ke hospital itu semula tetapi selepas diperiksa dia dikatakan menghidap penyakit campak dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

“Pada 21 Disember saya terpaksa membawanya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana mulutnya semakin membengkak selain gelembung air bisa di badannya mula pecah hingga mengganggu keselesaannya,” katanya.

Menurut Shamsul, dia ter­kejut apabila pegawai perubatan HPP memaklumkan anaknya bukan diserang campak sebaliknya kerana tersalah makan ubat.

Shamsul berkata, anaknya ditempatkan di HPP selama tujuh hari.

Dalam pada itu, jurucakap hospital terbabit ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu dan menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Pihak hospital akan me­ngeluarkan kenyataan sebaik sahaja punca masalah kesihatan kanak-kanak berke­naan dikenal pasti,” katanya.