MAHATHIR MOHAMAD

Malah, sentimen DAP berbahaya untuk orang Melayu sentiasa menjadi ‘mantera’ Dr. Mahathir untuk memastikan beliau terus berkuasa selama 22 tahun, termasuk mendakwa Lim Kit Siang dan DAP merupakan parti perkauman - dakwaan yang sentiasa dinafikan parti itu.

Maka apabila anaknya, Datuk Seri Mukhriz dalam wawancara dengan sebuah portal propembangkang mendakwa menyesal mengaitkan DAP dengan perkauman, adakah ini bermakna beliau turut menyesali perbuatan bapanya yang mengekalkan kedudukan menggunakan cara tersebut?

Bekas Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman menyifatkan kenyataan Mukhriz tersebut adalah sebagai kenyataan terdesak daripada seorang pemimpin yang ketandusan idea untuk terus berusaha mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

MUKHRIZ MAHATHIR
MUKHRIZ MAHATHIR

Menurutnya, pemimpin sedemikian yang menyesal memperjuangkan hak orang Melayu sepatutnya ditolak oleh orang Melayu kerana diyakini suatu masa nanti, mereka akan menjadi petualang yang menamatkan penguasaan politik orang Melayu di negara ini.

“Sukar untuk kita percaya pada kata-kata mereka ini. Apabila bersama dengan orang Melayu, mereka akan bercakap tentang hak dan kedudukan orang Me­layu tapi apabila bersama audiens lain, mereka kata mereka menyesal pula perjuangkan hak Melayu.

“Saya sendiri pernah diberitahu oleh Tun (Dr. Mahathir), kata-kata be­­liau boleh berubah mengikut audiens,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mukhriz dalam wa­wan­cara yang disiarkan Malaysiakini dilaporkan tersenyum malu ketika ditanya mengenai sentimen beliau terhadap DAP yang kini berubah dan berkata, DAP bukanlah seperti dicanangkan seperti mana beliau ketika bersama UMNO dan perkara itu tidak lagi timbul.

Beliau sebaliknya mendakwa, UMNO akan menjadikan DAP sebagai sasaran dengan menuduh parti itu sebagai cauvinis selain menakutkan rakyat bahawa Kit Siang ingin menjadi Perdana Menteri sekiranya tidak dapat menyelesaikan masalah besar.

Ironinya, Dr. Mahathir sendiri diketahui umum secara konsisten melemparkan pelbagai tuduhan terhadap DAP termasuk menuduh Kit Siang bersikap perkauman sehinggalah berlakunya pusingan U apabila kedua-dua pemimpin ve­teran itu menjadi sekutu menerusi Pakatan Harapan.