Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid percaya dalam masa terdekat ini akan ada petanda positif dalam pemulihan Muhammad Adib.

“Kita percaya Muhammad Adib akan sembuh berkat usaha diberikan pakar di Institut Jantung Negara (IJN), sokongan dan doa seluruh rakyat negara ini.

“Kita percaya Muhammad Adib mempunyai semangat yang kuat untuk sembuh dan kembali menjalankan tugasnya sebagai anggota bomba,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Muhammad Adib berada dalam keadaan kritikal selepas dibelasah perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Mohammad Hamdan berkata, pakar di IJN memaklumkan Muhammad Adib masih perlu bergantung kepada bantuan mesin untuk memastikan fungsi pernafasan, aliran darah dan jantungnya dapat dipulihkan pada tahap optimum.

“Mesin dialisis masih diguna pakai untuk dialirkan keluar bendalir dan ia menstabilkan keadaan Muhammad Adib,” katanya. - UTUSAN ONLINE