Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, masyarakat Islam yang bersatu akan menjadi kuat dan membuatkan musuh gerun melihat mereka.

Namun katanya, ada sebahagian masyarakat hari ini sanggup bersatu dengan musuh untuk menentang umat Islam sendiri.


“Kita tidak perlu tengok jauh, dalam keluarga sendiripun adik beradik bercakaran apatah lagi bila berada dalam kelompok yang besar.


“Kesatuan antara kita sekarang begitu longlai, lesu dan lemah, kita sudah tidak ada kasih sayang dan inilah yang menjadikan musuh mudah mengalahkan kita.


“Kita boleh bersatu menggunakan pelbagai cara seperti bahasa ataupun bangsa tetapi kesatuan yang paling utama adalah kerana agama, atas kalimah tauhid, cukup atas nama Islam kita bersatu,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Islam dan Masyarakat - Realiti, Cabaran dan Halatuju’ di Persidangan Kebangsaan Pembangunan Islam dan Masyarakat Wasatiy di Dewan Besar, Kompleks Islam Lundang di sini hari ini.


Lebih 500 peserta menghadiri persidangan dua hari bermula hari ini anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan ( Jheaik), Institut Wasatiyah Malaysia (IWM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu.


Ia menyaksikan pembentangan 10 kertas kerja oleh wakil dari beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA), jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan. - UTUSAN ONLINE