Beliau berpandangan, idea dan cadangan tersebut sangat baik kerana ia bukan sahaja dapat mengatasi gejala sosial malah untuk keselamatan dan perkembangan diri remaja itu sendiri.

“Pada umur yang terlalu muda, jika mereka (remaja) berkeliaran pada waktu malam, maka tiada arah tujuan, mudah terjebak dengan jenayah, mudah dimangsakan dan membazirkan umur yang sepatutnya ketika itu digunakan untuk perkembangan kemajuan diri,” katanya dalam status facebooknya di sini hari ini.

Semalam akhbar Utusan Malaysia melaporkan, Kerajaan Pas Kelantan sedia mengkaji pelaksanaan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam bagi mengatasi masalah gejala sosial di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wa­nita negeri, Mumtaz Md. Nawi dilaporkan berkata, sekurang-kurang­nya tujuh negara sudah menjadikan perintah berkurung ke atas remaja dan kanak-kanak sebahagian daripada peruntukan undang-undang.

Kata Mumtaz lagi, antara negara yang sudah melaksanakannya adalah Amerika Syarikat (AS), Australia, Thailand, Jerman, Britain, Iceland dan United Kingdom (UK).

Sementara itu, Mohd. Asri turut mengucapkan tahniah kepada Mumtaz atas hasrat dan cadangan yang baik itu.

“Tahniah Puan Mumtaz Md. Nawi atas hasrat dan cadangan yang baik. Jika berkesan, negeri-negeri lain juga boleh ikut,” katanya. - UTUSAN ONLINE