Menurut sumber, seramai tujuh nama penceramah digugurkan daripada bersiaran di radio tersebut dan digantikan dengan senarai nama penceramah baharu.

Mohamad Shukri ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu sebaliknya meraikan sesiapa sahaja pendakwah di negara ini dan perkara paling penting adalah mesej Islam dapat disampaikan dengan berkesan.

“Sesiapa ada kemampuan dan kebolehan menyampaikan mesej Islam kita alu-alukan. Jadi, sesiapa yang tersenarai mungkin lebih baik kerana apa yang paling penting mesej Islam kepada masyarakat itu sampai,” katanya.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan sepucuk surat yang ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengesahkan dakwaan baru-baru ini, seramai 10 pendakwah didakwa tidak lagi digalakkan ke udara sama ada melalui televisyen dan radio mulai Januari 2019.

Surat itu juga memaklumkan sebanyak 20 penceramah boleh bersiaran di platform tersebut dan turut memaklumkan pihak Jabatan Perdana Menteri telah membuat tapisan daripada segi kelayakan, kelulusan, kepakaran serta pentauliahan penceramah tersebut. - UTUSAN ONLINE