ISMAIL NASARUDDIN

Presidennya, Ismail Nasaruddin berkata, kenyataan tidak wajar Mueller itu mengguris hati banyak pihak terutama pekerja yang sudah diberhentikan.

“Jika hendak mencari alasan pemberhentian pekerja sekali pun, biarlah relevan dan jangan sesuka hati mengeluarkan ke­nyataan yang tidak logik kerana mustahil semua pekerja yang diberhentikan tidur.

“Surat pemberhentian yang diserahkan kepada pekerja me­ngatakan berlaku penstrukturan syarikat. Jika benar mereka tidur, tunjukkan bukti bukannya me­nuduh dan mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mueller yang juga Pengarah Urusan MAB menerusi portal stesen penyiar Jerman, Deutsche Welle (DW) menyatakan, ketika beliau mengambil alih pengurusan syarikat tersebut, ramai dalam kalangan 20,000 kakita­ngan MAB tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan.

Portal itu melaporkan Mue­ller sebagai berkata, ketika beliau berjalan di hangar, ada pekerja yang tidur dan itu menyebabkan beliau terpaksa secara radikal mengurangkan 6,000 pekerja.

Berikutan kenyataan itu, Jawatankuasa Khas Selamatkan Malaysia Airlines (MAS), Majlis Perunding Melayu baru-baru ini mahu Mueller dipecat serta-merta dan menyifatkan tuduhan beliau bahawa pekerja MAS tidur semasa waktu bekerja sebagai amat biadab.

Dalam pada itu, Ismail menegaskan, tindakan Mueller mengeluarkan kenyataan itu hanya menunjukkan beliau tidak ber­puas hati dengan beberapa pihak seperti Khazanah Nasional Bhd.

“Ini merupakan satu tindak balas Mueller yang mungkin tidak berpuas hati dengan keputusan beberapa pihak mengenai jawatannya di MAB.

“Beliau (Mueller) sepatutnya memberi penjelasan berkenaan isu ini ketika pemecatan pekerja dilaksanakan, bukannya selepas setahun berlalu,” katanya.