ABDUL HALIM MANSOR
ABDUL HALIM MANSOR

Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pelaksanaan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan membuktikan Perdana Menteri sentiasa mengambil be­rat terhadap golo­ngan pekerja swasta di negara ini.

Beliau berkata, isu gaji minimum yang diperjuangkan oleh MTUC sejak 1997 tidak mendapat sebarang kesan positif daripada kerajaan pada ketika itu, namun situasi berubah apabila Najib mengambil alih pentadbiran dengan bukan hanya memenuhi permintaan tersebut, malah telah mewujudkan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara.

“Kami melihat Perdana Menteri amat prihatin agar kebajikan pekerja swasta terbela. Misalnya, dalam isu gaji minimum, MTUC telah berjuang sekian lama dan tidak mendapat apa-apa impak pun, namun itu menjadi lembaran baharu di bawah pemerintahan Najib.

“Bukan sahaja gaji minimum tetapi turut mewujudkan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara yang boleh dikaji setiap dua tahun.

Ini jelas menunjukkan tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri yang sentiasa mende­ngar denyut nadi rakyat dan ingin meningkatkan keupayaan modal insan,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Hari Pekerja 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Ne­gara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot; Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib dan Pre­siden Kongres Ke­­satuan Pe­kerja-Pe­kerja Di Da­lam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

Ketika mengulas mengenai beberapa inisiatif diumumkan oleh Perdana Menteri dalam majlis tersebut termasuk pemberian geran khas kepada MTUC sebanyak RM3 juta, Abdul Halim melihat pengumuman itu sungguh drastik dan membuatkan para pekerja rasa terharu.

“Pemberian RM3 juta kepada MTUC bagi membolehkan kami gerakkan sesuatu agar kesatuan pekerja ini lebih dinamik dan selari dengan objektif negara. Malah, saya berpandangan insentif lain seperti cuti paterniti mandatori kepada suami bekerja di sektor swasta walaupun orang mungkin melihat sebagai perkara kecil, namun itu merupakan satu pengiktirafan kepada semua pekerja.

“Malah, Perdana Menteri telah memenuhi hampir 90 peratus hasrat kita,” katanya.

Selain itu Abdul Halim berkata, pihaknya bercadang untuk menggunakan pemberian RM3 juta itu bagi tujuan membangunkan pendidikan kepemimpinan MTUC.

“Kita mempunyai lebih 300 kesatuan sekerja, namun tidak mempunyai institut yang dikelolakan oleh MTUC kerana tidak mempunyai kewangan yang kukuh. Jadi dengan bantuan kerajaan yang diumumkan ini membolehkan MTUC merencanakan segala pendidikan yang diperlukan oleh pekerja kami,” ujarnya.