Timbalan Setiausaha Agung MTUC, A. Balasubramaniam berkata, majikan perlu mengutamakan keselamatan di tempat kerja memandangkan kebanyakan majikan kini dilihat lebih memberi tumpuan untuk mencapai sasaran jadual pengeluaran atau pembinaan di tempat kerja.

“Keselamatan di tempat kerja adalah satu daripada hak asasi pekerja. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia perlu memastikan bahawa Seksyen 15 Akta OSH dikuatkuasakan dengan tegas,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya, pegawai jabatan juga perlu memastikan pemeriksaan di tempat kerja dijalankan secara tetap memandangkan keselamatan pekerja mesti diberi perhatian utama.

Balasubramaniam berkata, Seksyen 15 Akta OSH jelas menyatakan bahawa majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerjanya.

Beliau berkata, banyak kemalangan berkaitan kerja di Malaysia menarik perhatian umum, yang terbaru pada 22 Jun di Alor Gajah, Melaka, mengorbankan tiga pekerja manakala 19 lagi cedera apabila bumbung struktur tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan di sebuah pusat beli-belah runtuh.

Dalam insiden berasingan, seorang pekerja Bangladesh maut dalam kemalangan di tapak pembinaan bawah tanah projek Transit Aliran Massa Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur pada Mei tahun ini. - BERNAMA