logo MTIB
 

Pengerusi MITB, Wong Tack berkata, kelulusan permit penggunaan bagi tujuan projek pembangunan ladang hutan di kedua-dua hutan simpan tersebut, yang berkeluasan 400 hektar, pada 14 Disember 2018 kepada sebuah syarikat adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

"Pengurusan syarikat berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan MTIB dan setakat ini tidak pernah menghubungi MTIB berkenaan hasrat untuk bekerjasama di dalam Projek Perladangan Hutan di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan yang diuruskan oleh Forest Plantation Development Sdn Bhd (FPDSB)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi permohonan pinjaman pembiayaan di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan di bawah MTIB, syarikat atau agensi kerajaan perlu mematuhi syarat yang ketat.

"Bagi Program Pembangunan Ladang Hutan, ia hendaklah diusahakan di atas tanah hak milik kerajaan atau milik persendirian dan bukan di dalam Hutan Simpan Kekal kecuali yang telah diperuntukkan untuk tanaman ladang hutan di Semenanjung Malaysia yang akan diberikan lesen lain," katanya.

Wong Tack menegaskan, MTIB dan Forest Plantation Development menafikan terdapat perjanjian kerjasama antara MTIB dan syarikat berkenaan.

"Sehingga kini, MTIB menjalankan aktiviti selaras dengan objektif dan perlembagaan serta menjalankan setiap urusan mengikut kehendak Akta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Pemerbadanan) 1973 (Akta 105)," katanya. - BERNAMA