Pembukaan Pusat Biokomposit dan Makmal Pengujian Perabot Ketiga (Fidec 3) itu merupakan inisiatif Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi pengkomersialan produk gentian dan biokomposit selain menyediakan kemudahan pemprosesan serta perkhidmatan pengujian kepada pihak industri dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Fidec pertama ditubuhkan MTIB pada tahun 2008 manakala Fidec 2 diwujudkan pada tahun 2013 yang menyediakan perkhidmatan pengujian mekanikal, polimer, analitikal, kimia dan formaldehyde. 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong ketila berucap pada majlis pelancaran Fidec 3 menyifatkan pembukaan pusat tersebut yang menelan kos sebanyak RM13.3 juta itu dan berkeluasan 7,432 meter pesegi itu akan menarik lebih ramai pihak industri terutamanya dalam pembuatan perabot meneroka bidang biokomposit di peringkat pasaran tempatan dan global.

"Potensi industri biokomposit dalam sektor perkayuan adalah tinggi. Pada tahun 2016, produk biokomposit merangkumi papan lapis, papan serpai, papan gentian dan komposit plastik kayu telah menyumbang sebanyak RM6.3 bilion iaitu 29 peratus daripada keseluruhan nilai eksport industri perkayuan negara berjumlah RM22.1 bilion pada tahun berkenaan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE.