Presiden MSU, Profesor Tan Sri Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, kemudahan perubatan terkini dan canggih itu menjadi pelengkap kepada penglibatan pihaknya dalam bidang pendidikan perubatan negara.

“Selain itu, ia turut berperanan sebagai hospital pengajar kepada program perubatan MSU khususnya Fakulti Perubatan Antarabangsa bagi kemudahan latihan klinikal.

“Pusat Perubatan MSU turut bermatlamat meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat dan meningkatkan peluang untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang perubatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Perubatan MSU di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor MSU, Profesor Datuk Dr. Junainah Abd. Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan MSU, Datuk Nasharuddin Shukor; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kesihatan Pusat Perubatan MSU, Datuk Dr. Lailanor Ibrahim.

Antara kemudahan yang disediakan di Pusat Perubatan MSU adalah dewan bedah, unit penjagaan rapi (ICU), dewan bersalin, klinik pakar dan klinik pergigian. - UTUSAN ONLINE