Presiden Majlis Media Sosial Malaysia, Shahul Hameed Dawood berkata, menerusi MSMW 2015, peserta bakal didedahkan dengan pengetahuan dan perkembangan media sosial seperti Facebook, Twitter, Google dan sebagainya.

“Menerusi program ini, kita dapat berbincang mengenai etika dan isu kebebasan dalam dunia siber agar tidak disalah guna oleh pihak tertentu.

“Penganjuran MSMW 2015 dilihat mampu merapatkan hubungan pengamal media sosial di dalam dan luar negara malah dapat me­ningkatkan kefahaman rakyat tentang peranan media sosial dalam masyarakat,” katanya ketika berucap dalam majlis koktel MSMW 2015 di sini hari ini.

Seramai 29 penceramah dari dalam dan luar negara ditampilkan menerusi MSMW 2015 antaranya dari India, Singapura, Filipina, Australia, Arab Saudi, Vietnam, Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia.

MSMW 2015 yang berlangsung selama tiga hari bermula esok di Hotel Berjaya Times Square turut disokong Kementerian Wilayah Persekutuan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perbadanan Putrajaya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan pengamal media sosial dan pence­ramah amat teruja untuk menyertai MSMW 2015.

Pegawai media strategik, Andrew Chow, 48, berkata, ini merupakan penglibatan pertamanya dalam program seumpama ini.

“Saya amat gembira kerana terpilih menjadi salah seorang pence­ramah di MSMW kali ini malah teruja untuk berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan media sosial.

“MSMW merupakan medium terbaik kepada pengamal media untuk berhimpun bagi membincangkan isu-isu terkini mengenai media sosial,” katanya yang berasal dari Singapura.

Sementara itu, Ketua Informasi dan Teknologi Bharatiya Janata Party (BJP), India, Arvind Gupta, 45, berpuas hati dengan senarai pence­ramah kali ini dan kan­dungan yang bakal dibincangkan bersama para pengamal media sosial.

“Program ini bukan sahaja mampu mendidik masyarakat bahkan menangani isu-isu generasi muda yang terlalu terpengaruh dengan fahaman dan ideologi yang disampaikan melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter.

“Acara ini mampu membina rangkaian hubungan sosial melalui cara yang mudah di samping mempromosi dan menyokong penggunaan media sosial secara berdisiplin dan beretika,” katanya.

Seorang blogger tempatan, Ng Sock Peng, 35, memberitahu, MSMW 2015 membuka peluang kepada blogger untuk mempromosi dan berkongsi tentang cabaran mengenai media sosial.

“Saya lihat MSMW 2015 dapat membantu kami sebagai blogger untuk menulis fakta-fakta yang betul di samping memberi maklumat yang berguna dan berkualiti kepada pengguna media sosial,” katanya.