Pada masa sama, pihak industri akan memastikan bekalan bahan keperluan makanan itu sentiasa mencukupi dalam pasaran.

MSM dan CSR dalam satu kenyataan bersama menjelaskan, penurunan tersebut perlu dalam memastikan bekalan gula tetap stabil walaupun terdapat harga gula mentah yang tidak menentu.

“Harga gula runcit di Malaysia kekal sebagai yang paling murah di dunia, seperti yang diwartakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan dijual pada harga terkawal.

“Harga ini jauh lebih rendah daripada harga di negara pengeluar gula seperti Thailand, Indonesia dan Filipina, juga negara berpendapatan per kapita lebih rendah seperti Kemboja dan Myanmar,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan akan menurunkan harga gula sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram (kg) berkuat kuasa 1 September ini menjadikan harga kawalan gula pasir kasar baharu ialah RM2.85 dan RM2.95 bagi gula pasir halus.- UTUSAN ONLINE