Sambil menyifatkan pembangunan MSC sebagai sesuatu yang amat mengagumkan, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group itu berkata, konsep MSC dilengkapi dengan platform perdagangan elektronik dunia Alibaba mampu memperkasakan golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan muda di negara ini.

“Pada tahun 1995, saya me­mu­lakan syarikat internet pertama saya di China dan ketika itu, saya bimbang bagaimana internet dan teknologi digital dapat memperkasakan masya­rakat. Suatu hari, saya membaca berita mengenai MSC dan menganggap ia adalah idea yang ‘genius’.

“Bagaimana perkara ini bo­leh berlaku? Jadi saya, memerhati selama beberapa tahun namun ia tidak berjaya dan tahun lalu, apabila saya mendapat idea kerjasama eWTP (Platform Perdagangan Dunia Elektronik) dengan Malaysia, saya teringat ini adalah impian 20 tahun lalu yang perlu dilaksanakan dan ia akan menjadikan MSC sebenar dalam memperkasa golongan PKS dan usahawan muda.

“Terlintas dalam fikiran saya, jika Malaysia boleh melakukannya, mengapa China pula tidak boleh? Jadi, Malaysia menjadi inspirasi kepada saya untuk membangunkan Alibaba dan pada pagi ini, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas inspirasi hebatnya mengenai MSC,” katanya dalam majlis pelancaran pejabat pertama syarikat itu di negara ini di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

Dalam pada itu, Jack Ma memberitahu, beliau yakin dengan hubungan perdagangan dua hala Malaysia-China meskipun keputusan kerajaan sedia ada untuk mengkaji semula beberapa projek negara republik berkenaan.

Jack Ma juga berkata, tidak salah untuk berbuat demikian dan menganggap langkah itu adalah baik dan dapat menyelesaikan masalah.

“Sebelum saya datang ke negara ini, banyak yang saya dengar mengenai hubungan China dan Malaysia serta komuniti bisnes. Bagi saya, isu ini sama seperti 20 tahun lalu, banyak yang bimbang mengenai internet dan saya rasa langkah itu tidak akan menyelesaikan sebarang masalah, ujarnya.”