Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, menerusi MSAM edisi ke-17 ini, pihaknya berharap dapat mendekati masyarakat di kawasan pedalaman kerana sebelum ini penganjurannya lebih tertumpu di kawasan bandar.

Menurut beliau, di samping memberikan pendedahan yang lebih meluas mengenai pelaburan unit amanah dan perancangan kewangan berkesan, MSAM 2016 turut memberi peluang kepada masyarakat mengenali PNB dan syarikat-syarikat kumpulannya dengan lebih dekat.

Beliau berkata, selain pameran utama yang disertai oleh 50 pempamer, pelbagai program menarik turut menanti pengunjung antaranya Jejak Pelabur Bijak Maybank, Jejak Pelabur Cilik I&P, Kembara UMW, CCM Interschool Showdown, Simposium Usahawan PNB-MIDF, MNRB Ringgit Savvy, Cendekiawan Muda Takaful Ikhlas, Seminar Khas Kewangan ASNB, Santai Labur, serta Hibur Labur Bersama PNB.

“MSAM telah pun melengkapkan penjelajahan pusingan pertama di bandar-bandar utama seluruh negara (kecuali Selangor) pada tahun 2013.

“Namun, kita merasakan usaha pendidikan pelaburan ini tidak patut terhenti setakat itu sahaja. Agenda ‘merakyatkan pelaburan’ menerusi MSAM wajar diteruskan kerana kita komited terhadap matlamat menjadikan seluruh masyarakat tidak mengira latar belakang sebagai masyarakat yang celik pelaburan dan kewangan.

“Justeru, MSAM dibawa sekali lagi menjelajah ke serata negeri bagi pusingan kedua di bandar-bandar kecil pula, bermula tahun 2014 di RTC Tunjong, Kelantan, diikuti de­ngan penganjuran di Sibu, Sarawak pada tahun lepas dan tahun ini di Tapah. Ini merupakan kali kedua MSAM dianjurkan di Perak,” kata­nya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program pra-MSAM 2016, MSAM Sime Darby Walk di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Manjung, di sini hari ini.

Lebih 8,000 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun menyertai program berjalan kaki sejauh 5.5 kilometer tersebut yang dilepaskan Menteri Besar, Datuk Seri Dr, Zambry Abd. Kadir.

Yang turut hadir, Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh.

Tambah Hamad Kama Piah, MSAM kali pertama yang dianjurkan di Perak pada tahun 2011, berjaya menarik perhatian kira-kira 177,000 pengunjung.

Beliau berkata, pada MSAM kali ini, pengunjung berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik antaranya kereta Ford Fiesta 1.0L Ecoboost bagi Peraduan Pengunjung Bertuah sempena Majlis Perasmian, Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo Automatic bagi Peraduan Pengunjung Bertuah sempena majlis penutup, Perodua Axia 1.0 Advance Automatic dan juga sportsbike Yamaha R25 bagi peraduan utama.

Kata beliau, selain itu pengunjung juga ditawarkan pelbagai hadiah sepanjang minggu seperti motosikal, basikal, iPhone 6s, Samsung Galaxy Note 5, iPad Mini 4 dan pelbagai barangan elektrik.

“Saya berharap masyarakat berkunjung ke MSAM bukan semata-mata untuk memenangi hadiah yang ditawarkan.

“Perkara yang lebih penting mereka turut menyertai pelbagai program pendidikan pelaburan yang dianjurkan,” katanya.