Dalam menghadapi semua cabaran ini, MRT Corp sentiasa bekerjasama dan berjumpa dengan wakil-wakil komuniti, perniagaan dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pengangkutan awam bertaraf dunia itu dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.  
Wartawan Utusan Malaysia, NIK HAFIZUL BAHARUDIN menemu bual Pengarah, Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. DATUK NAJMUDDIN ABDULLAH bagi berkongsi perkembangan terkini projek serta cabaran dihadapi.

 

UTUSAN MALAYSIA: Kongsikan perkembangan terkini mengenai projek MRT 2 ?

NAJMUDDIN ABDULLAH: MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) me­rupakan laluan kedua yang dibangunkan bagi Projek MRT Lembah Klang.

Laluan ini akan memberi perkhidmatan kepada 2 juta penduduk yang menghuni di sepanjang koridor laluan ini yang bermula dari Sungai Buloh, menerusi pusat Kuala Lumpur dan kawasan pinggiran bandar selatan ke Putrajaya.

Jajaran yang panjangnya 52.2 kilometer (km) itu terdiri daripada landasan bertingkat sepanjang 38.7km dan landasan yang melalui terowong bawah tanah sepanjang 13.5km.

Kemajuan pembinaan untuk MRT Laluan SSP ialah 27 peratus setakat akhir bulan Mei 2018.

Bagaimana MRT boleh me­ngubah landskap sistem pengangkutan awam di ibu negara?

Seperti yang kita semua ketahui, dari sehari ke sehari rak­yat terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas dan meng­akibatkan mereka lewat untuk ke pejabat mahupun ke destinasi yang ingin dituju.

Dengan pembinaan projek MRT menggunakan teknologi yang moden, satu jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan bersepadu serta mampu memberi perkhidmatan yang lebih efisien, boleh percaya, selamat dan lebih hijau.

Dengan pelancaran keseluruhan laluan dari Sungai Buloh ke Kajang pada 17 Julai 2017, MRT telah menyediakan kesinambungan yang lancar antara satu perkhidmatan ke perkhidmatan rel yang lain seperti Keretapi Ta­nah Melayu, Transit Aliran Ringan dan monorel dan ini telah memudahkan perjalanan orang ramai ke destinasi mereka tanpa tekanan.

Penerimaan masyarakat terhadap pengangkutan awam ini?

Semenjak laluan pertama MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dibuka kepada orang ramai, sambutan sangat menggalakkan. Setelah orang ramai menggunakan MRT, kita sudah dapat lihat mereka menginginkan lebih banyak laluan dibuka untuk orang ramai agar dapat menghubungkan mereka ke destinasi yang ingin dituju.

Memandangkan operasi MRT diuruskan oleh pihak Prasarana Malaysia Berhad, adalah lebih sesuai bagi mereka untuk memberi komen terhadap operasi MRT. Namun, menurut statistik yang diterbitkan oleh Kementerian Pengangkutan, bilangan penumpang MRT meningkat setiap bulan semenjak pembukaan MRT.

Sejauh mana keupayaan MRT dalam menyumbang kepada eko­nomi negara?

Selain peluang pekerja, projek in juga menambah nilai hartanah selain peningkatan produktiviti .

Dengan mobiliti yang lebih baik dengan menggunakan MRT, masa perjalanan terutamanya sewaktu kesesakan trafik dapat dikurangkan, dan masa perjalanan bagi mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar yang jauh akan dikurangkan.

Peranan MRT dalam meningkatkan kualiti hidup dan modal insan?

Transformasi pengangkutan awam darat perlu mempunyai aspirasi ke arah mewujudkan persekitaran yang bersih dan hijau, serta meningkatkan kualiti hidup.

Dengan kewujudan MRT berasaskan tenaga elektrik mampu mengurangkan jejak karbon bagi setiap penduduk terutamanya yang tinggal dan bekerja di sekitar Lembah Klang.

MRT juga boleh mendorong rakyat ke arah kehidupan yang lebih sihat di mana pengguna pengangkutan awam akan lebih banyak berjalan kaki dan lebih melakukan aktiviti fizikal.

MRT juga boleh menggalakkan transformasi kawasan bandar dengan membawa peluang perniagaan yang baru dengan akses yang mudah. Kini, kita dapat lihat kawasan-kawasan seperti Bukit Bintang dan Jalan Petaling sudah menjadi lebih meriah di mana perniagaan-perniagaan baru telah dibuka setelah MRT beroperasi.

Kekangan dan cabaran di sebalik pembinaan projek MRT?

Selain teknikal, cabaran sosial antara yang terpaksa dihadapi sepanjang menyiapkan projek. Sebagai contoh, pembinaan bawah tanah disebabkan keadaan geologi yang berbeza di bawah permukaan bumi Kuala Lumpur.

Manakala cabaran dari segi sosial pula apabila kerja-kerja pembinaan MRT memberi impak kepada beberapa golongan masyarakat, termasuk penduduk dan peniaga yang tinggal dan beroperasi berdekatan jajaran MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang(SBK) akibat bunyi bising, habuk, gegaran dan juga penutupan jalan.

Perancangan MRT untuk jangka masa terdekat dan panjang?

Dalam jangka masa terdekat, MRT Corp akan menumpukan sepenuhnya kepada pembinaan MRT laluan kedua iaitu Laluan SSP agar dapat disiapkan tepat pada masanya dan menurut kos yang disasarkan.

Pembinaan laluan ini bergerak dengan lancar di mana kerja mengorek terowong, membina jejambat untuk laluan bertingkat, stesen-stesen bertingkat dan juga bawah tanah, serta kerja-kerja system elektrikal dan mekanikal sedang giat dijalankan.

Insya-Allah MRT Corp dapat mengulangi kejayaan yang dicapai di MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dan menyiapkan pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya mengikut jadual iaitu Fasa Pertama dalam suku kedua tahun 2021 dan keseluruhan laluan dalam suku kedua tahun 2022.