Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa stesen MRT mendapati kebanyakan pengguna melahirkan rasa gembira dengan kemudahan tersebut dan berharap agar kerajaan terus mening­katkan mutu pengangkutan awam.

Salah seorang pengguna, Roshidi Hashim, 37, berkata, pembukaan laluan baharu membuktikan negara semakin membangun sehinggakan kerajaan terus menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan rakyat.

“Apabila laluan baharu dibuka pengguna ada pilihan sama ada mahu menaiki kenderaan sendiri atau menggu­nakan MRT. Kalau guna MRT lebih senang, sekejap sahaja akan sampai ke destinasi.

“Buat pilihan yang bijak, guna sahaja MRT sekiranya tidak mahu berdepan dengan kesesakan lalu lintas,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Fasa kedua sejauh 30 kilome­ter itu melibatkan 19 stesen dan kekerapan tren dijangka setiap 3.5 minit.

Sementara itu, Muhammad Saiful Radir, 28, berkata, sebelum ini dia menggunakan perkhid­matan Keretapi Ta­nah Melayu Berhad (KTMB) sekiranya ingin ke Kajang, namun perjalanannya mengambil masa yang agak panjang.

“MRT lebih laju, pastinya perjalanan ke Kajang lebih mudah. Kebiasaannya harga yang ditawarkan tidak terlalu tinggi dan saya berharap agar kerajaan dapat mengawal harga tiket.

“Stesen baharu ini sistematik apabila turut dilengkapi dengan kemudahan ruang untuk meletakkan kenderaan. Selepas ini perjalanan lebih mudah dari Sungai Buloh boleh terus ke Kajang,” katanya.

Bagi Muhammad Shahrul Nizam Mohd. Mokhtar, 24, pembukaan stesen baharu boleh menarik minat pelancong untuk me­ngunjungi destinasi popular di negara ini.

“Sebagai contoh antara laluan baharu adalah Muzium Negara dan Pasar Seni. Apabila laluan baharu dibuka pastinya ramai pelancong akan singgah di tempat-tempat menarik di ibu negara,” ujarnya.