Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Mass Rapid Transit Corpration Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Najmuddin Abdullah (gambar) berkata, pelbagai bentuk kemudahan meliputi ins­titusi pendidikan, kesihatan serta pusat beli-belah berada dalam lingkungan 500 meter di setiap stesen.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat mengubah sistem pengangkutan bagi penduduk sekitar dengan lebih efisien dan menjimatkan.

“Terdapat 44 pusat beli-belah yang berhampiran dengan stesen MRT sekali gus dapat memudahkan orang ramai ke pusat bandar. Begitu juga dengan institusi pendidikan meliputi sekolah, kolej dan sebagainya. Jadi golongan pelajar boleh menggunakan kemudahan MRT secara total.

“Banyak juga hospital yang berhampiran dengan laluan membolehkan orang ramai tidak perlu lagi bermalam diruang legar menunggu pesakit malah mereka boleh balik ambil tren terakhir pada pukul 12 malam dan datang se­mula pada pukul 6 pagi,” katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat dan lawatan bersama media sempena pembukaan Fasa kedua SBK di sini baru-baru ini.

Laluan SBK terdiri daripada 19 stesen itu akan beroperasi sepenuhnya pada Isnin ini dan turut meliputi tujuh stesen pertukaran ke perkhidmatan rel sedia ada.

Mengulas lanjut, Naj­muddin berkata, dengan adanya kemudahan rangkaian ke perkhidmatan rel lain, pihaknya menjangkakan penurunan 160,000 kenderaan persendirian memasuki Lembah Klang setiap hari.

Ujarnya, dianggarkan sera­mai 400,000 penumpang menggunakan Laluan SBK sepanjang 51 kilometer itu setiap hari.

“Sebuah tren dengan empat gerabak boleh membawa 1,200 penumpang dengan selesa...bayangkan ruang yang diperlukan jika setiap penumpang ini terus menggunakkan kenderaan masing-masing untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja.

“Jika jumlah penumpang ini meninggalkan kereta masing-masing di rumah dan mengambil tren, bayangkan ruang kosong yang dapat diwujudkan di atas jalan serta pemilik kenderaan dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan,” ujarnya.