Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd., Datuk Ir. Zohari Sulaiman berkata, orang ramai berpeluang untuk merebut peluang tersebut menaiki pengangkutan awam itu yang akan menghubungkan pengangkutan awam sedia ada.

“Bagaimanapun hubungan bagi stesen MRT Fasa Pertama laluan Sungai Buloh-Semantan dan Stesen Intergrasi Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, Sri Petaling dan Ampang akan dibuka bermula pukul 6 pagi pada hari berikutnya.

“Operasi ini dijalankan selepas pelancaran yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dengan jajaran keseluruhan sepanjang 51 kilometer merentasi 31 stesen, termasuk tujuh stesen bawah tanah, Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang berintegrasi dengan Laluan LRT di stesen-stesen Pasar Seni, Maluri dan Merdeka yang berintegrasi dengan stesen LRT Plaza Rakyat.

Jajaran tersebut turut mempunyai kemudahan sambungan dengan rangkaian LRT, monorel, KTM dan ERL di Stesen Muzium Negara, yang dihubungkan dengan stesen KL Sentral.

Dalam pada itu, Zohari berkata, serentak dengan pembukaan Fasa Kedua Laluan MRT, perkhidmatan bas perantara untuk stesen-stesen yang baharu turut dimulakan, sekali gus meluaskan liputan bas perantara yang disediakan oleh Rapid Bus Sdn. Bhd. kepada 23 laluan tambahan merentasi 12 stesen MRT yang baru.

“Sebanyak 100 bas perantara tambahan disediakan untuk menghubungkan penduduk di kawasan-kawasan perumahan dan komersial yang berhampiran dengan stesen-stesen MRT terpilih,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE