Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, dengan pelaksanaan penuh Fasa 2 MRT Laluan SBK yang menyambungkan laluan daripada Semantan sehingga Kajang, sistem tersebut mempunyai kapasiti untuk menampung 400,000 penumpang harian dan akan turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang ke arah mencapai perkongsian mod sebanyak 40 peratus pada tahun 2030.

Katanya, perkhidmatan MRT ini yang mempunyai anggaran masa perjalanan selama 84 minit dari hujung ke hujung, dengan kekerapan 3.5 minit ketika waktu puncak, mempunyai jarak laluan sejauh 51 kilo­meter dan menyepadukan tujuh stesen rel yang sedia ada serta berupaya memendekkan masa perjalanan pengguna.

Beliau berkata, ia juga menawarkan 14 stesen yang dilengkapi dengan kemudahan letak dan naik (park and ride) bagi menggalakkan orang ramai meninggalkan kenderaan mereka dan menggunakan MRT, yang secara sekali gus akan mengurangkan kadar pengeluaran karbon ke alam sekitar.

“Sejak enam tahun yang lalu, pelbagai inisiatif kerajaan di bawah Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara telah secara asasnya mentransformasikan penggunaan pengangkutan awam darat dan menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang harian kepada 1.1 juta hari ini.

“Malah MRT juga menetapkan satu penanda aras bagi semua perancangan masa hadapan yang mengambil kira keperluan kesalinghubungan serta peningkatan mutu kehidupan rakyat kerana MRT dibina bagi kegunaan berterusan generasi yang akan datang, malah stesen-stesen yang didirikan merupakan seni bina yang indah dipandang serta mempunyai pelbagai ciri-ciri reka bentuk yang mesra pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut turut disokong dengan 300 bas perantara yang beroperasi di dalam lingkungan jarak lima sehingga tujuh kilometer dari Laluan MRT.

Sementara itu, Azharuddin menjelaskan, projek MRT laluan 2: Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dan LRT 3: Bandar Utama-Johan Setia dijangka akan membuka jalan kepada peluang-peluang bagi pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Projek-projek TOD akan membantu kerajaan mendapat kembali pulangan kepada pelaburan besar yang telah disalurkan bagi meningkatkan perkhidmatan rel dalam bandar.

“Selain itu, kesemua ini dilakukan bagi memenuhi keperluan pertumbuhan jangka masa panjang Greater KL,” katanya.