NURUL IZZAH
NURUL IZZAH

Seorang pekerja swasta, Nurul Izzah Mohamed Husairi, 26, berkata, dia sangat optimis pembukaan laluan baharu berkenaan dapat menjimatkan masa perjalanannya ke pejabat.

“Selama ini saya terpaksa bergerak dari rumah seawal pukul 7 pagi kerana perlu meredah kesesakan jalan raya. Malah, saya perlu meletakkan kenderaan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Bandar Tun Razak sebelum menaiki monorel untuk sampai ke pejabat yang terletak di Bukit Bintang.

“Bayangkan setiap hari saya mengambil masa perjalanan selama dua jam ibarat hendak pulang ke Melaka dan selalu tergesa-­gesa. Malah, saya terpaksa menaiki tiga buah kenderaan walaupun jarak perjalanan hanya 15 kilo­meter sahaja. Minggu depan hanya menaiki MRT, saya sudah boleh sampai ke pejabat kerana stesen MRT Taman Suntex hanya terletak di depan rumah,” luah­nya gembira ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Nurul Izzah, penduduk di kawasan perumahan Cheras terutamanya perlu menghadapi kesesakan jalan raya seawal pukul 6.30 pagi dan berlarutan sehingga pukul 10 pagi akibat lambakan kenderaan yang berpusu-pusu me­nuju ke ibu negara.

Situasi yang berlarutan hampir 10 tahun itu diharapkan mampu bertukar wajah apabila MRT bakal menjadi pengangkutan utama buat sebahagian besar penduduk di sepanjang laluan berkenaan.

SHAMSUDIAR
SHAMSUDIAR

Sementara itu, ibunya, Shamsudiar Abdullah, 56, yang merupakan seorang penjawat awam pula berkata, MRT umpama hadiah daripada kerajaan buat dirinya yang bakal bersara kelak.

“Syukur, gembira semuanya ada. Bayangkan hampir 10 tahun perlu meredah kesesakan jalan raya dan masa banyak terbuang begitu sahaja.

“Selama ini, saya dan Nurul Izzah perlu ke stesen LRT Bandar Tun Razak sebelum mengambil tren ke tempat kerja dan keada­an ini meningkatkan kos dan masa perjalanan kami. Namun, kini saya hanya perlu membuat pertukaran di stesen MRT Maluri untuk menaiki LRT di sana dan tidak perlu lagi menggunakan kereta,” jelasnya.