ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan meneliti kesesuaian setiap subjek sekiranya penggunaan e-Book dilaksanakan bagi memastikan ia tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Memang negara kita ke arah mengurangkan peng­gunaan kertas dan masa ini sudah ada e-Book. Kita ke arah itu, mungkin satu hari nanti, bila dan bagaimana kita hendak bermula bergantung kepada bajet dan lain-lain.

“Kita bersedia kalau ia bersesuaian tetapi kita juga mempunyai subjek yang tidak boleh dikompromi (perlu menggunakan buku),” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Asyura Perdana Parlimen Bera di Masjid Darul Fikri di sini, hari ini.

Program tahunan itu menyaksikan sebanyak 52 kawah bubur asyura dimasak dengan penglibatan masyarakat se­tempat.

Kementerian Pendidikan dilapor akan menge­t­atkan peraturan tidak membenarkan murid membawa lebihan buku ke sekolah secara lebih serius bermula tahun depan ekoran isu bebanan murid membawa buku yang banyak.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata, per­aturan tidak membenarkan murid membeli buku kerja tambahan sebenarnya bukan perkara baharu sebaliknya pekeliling mengenainya sudah berkuat kuasa sejak 1 Januari 2001.

Menurut Ismail Sabri, dalam isu berkenaan, MRSM akan mengikut dasar yang ditentukan Kementerian Pendidikan berdasarkan kepada kesesuaian di semua 55 MRSM seluruh negara.

Apa sahaja cada­ngan daripada Kementerian Pen­didikan, kata be­liau, diberikan perhatian dalam usaha memaju dan memperkasakan pendi­dikan negara.

Sementara itu, beli­au menaruh keyakinan pembentangan Bajet 2018 hujung bulan ini bakal memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.

“Saya yakin bajet kali ini terbaik untuk ma­syarakat luar bandar dan sama-sama kita me­nunggu pembentangannya nan­ti,” ujarnya.