Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Maj­lis Amanah Rakyat (Mara) sentiasa memastikan sistem pendidikan di MRSM adalah yang terkini dan selaras dengan peredaran semasa, seiring dengan kehendak dalam memacu kemajuan negara.

Menurutnya, strategi pendidikan MRSM menekankan kepada empat domain berbeza yang te­lah dirangka iaitu pembangunan kurikulum, pembangunan pelajar, pembangunan profesionalis­me, pembangunan fasiliti dan perkhidmatan.

Katanya, ini selaras dengan penekanan dalam bidang sains, teknologi, kerohanian, kejuruteraan, kesenian dan matematik atau STREAM.

“Hasil daripada usaha ini, kita berhasrat untuk melahirkan pelajar berautonomi, pemimpin berkesan, mempunyai nilai keusahawanan dan kebolehpasaran modal insan.

“Kerajaan mahu mereka mendapat pengiktirafan antarabangsa yang mana bersesuaian de­ngan hasrat Mara bagi memenuhi aspirasi kerajaan untuk menjayakan model ekonomi baharu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian MRSM Kuala Kangsar di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Sultan Pe­rak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang turut mengisytiharkan nama baharu MRSM itu sebagai MRSM Sultan Azlan Shah.

Menurutnya, keberkesanan sistem pendidikan MRSM telah terbukti dengan melahirkan golo­ngan cerdik pandai hasil daripada sistem pembelajaran tersebut.

Katanya, MSRM turut menawarkan pelbagai program sebagai menambah nilai sistem pendidikan MRSM, antaranya ialah dwipensijilan peperiksaan pe­ringkat antarabangsa, iaitu Cambridge International Gene­ral Certificate of Secondary Education (IGCSE).

“Sebanyak 13 buah MRSM menawarkan program ini yang memberikan pendedahan kepada para pelajar supaya dapat bersaing di peringkat lebih tinggi dalam sistem pendidikan bertaraf antarabangsa ini,” katanya.

Menurut beliau, program Ulul Albab juga telah dilaksanakan di empat buah MRSM yang bertujuan melahirkan pelajar cemerlang akademik dan menghafaz al-Quran ketika berada di MRSM.

“Program ini telah berjaya melahirkan 1,138 para hafiz dan hafizah dalam tempoh dua tahun sahaja,” katanya.