MRL dalam kenyataan hari ini menjelaskan tempoh masa perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur melalui Jajaran Selatan baharu adalah di bawah tempoh empat jam dan bukannya mengambil masa sehingga lima hingga enam jam seperti yang diperkatakan segelintir pihak.

“Melalui Jajaran Selatan ini, jarak perjalanan dari Kota Bharu ke Putrajaya Sentral adalah 550 kilometer merangkumi 17 stesen manakala jarak perjalanan dari Kota Bharu ke Gombak di bawah jajaran sebelum ini adalah 525 kilometer dengan 18 stesen.

“Dengan kelajuan 160 kilometer sejam, tambahan jarak 25 kilometer menambah masa perjalanan ke destinasi kurang dari 10 minit di mana ia akan dikurangkan dengan pengurangan satu stesen,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, MRL menjelaskan kerajaan akan memiliki semua aset ECRL melalui MRL dari awal usaha sama mengurus, mengendali dan menyelenggara dengan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) tamat.

Selain itu, MRL turut memaklumkan keseluruhan kos bagi Fasa 1 dan 2 projek ECRL adalah RM65.5 bilion termasuk landasan berkembar.

“Ini adalah termasuk Terowong Genting yang bernilai RM10 bilion yang melalui Banjaran Titiwangsa manakala jumlah stesen di bawah jajaran baharu adalah sebanyak 20 stesen.

“Pengurangan kos projek dari RM55.5 bilion kepada RM44 bilion bukan kerana pengurangan empat buah stesen semata-mata,” katanya. – UTUSAN ONLINE