Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, pihaknya yang terdiri daripada dua pasukan bantuan MRA Pulau Pinang dengan sokongan 12 kenderaan pacuan empat roda daripada Kumpulan Wildtrucker dan sukarelawan Soul Foundation Penang telah mengagihkan bantuan makanan kering, air mineral dan kit kebersihan ke sembilan pusat pemindahan banjir di Pulau Pinang. 

"Bantuan kemanusiaan amat diperlukan untuk mangsa banjir di negeri terlibat khususnya bantuan kecemasan, keperluan asas, logistik dan gerak kerja serta bantuan pemulihan pasca banjir," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Online.

Bencana banjir di Pulau Pinang dan Kedah telah menyebabkan kehilangan banyak nyawa dan kerugian harta benda awam. Laporan terkini  menunjukkan hampir 10,000 penduduk telah dipindahkan ke 102 pusat pemindahan sementara di kedua-dua negeri.

Kepada rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan bantuan kepada Tabung Bencana Banjir MRA yang telah diwujudkan, Mohd. Daud mempelawa agar menghulurkan sumbangan ikhlas ke akaun Public Bank Berhad 398891608 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation

Maklumat lanjut juga boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang rasmi MRA di www.mra.my atau hubungi Sekretariat MRA di 03-91744672.

"Semoga bantuan anda semua dapat meringankan penderitaan mereka," katanya. - UTUSAN ONLINE