Setiausaha Agung MRA, Dr. Shahrizal Azwan Samsudin berkata, pusat rawatan tersebut bakal dibuka di kawasan pemindahan sementara yang menempatkan puluhan khemah bersama 200 buah keluarga yang hilang penempatan akibat daripada gempa bumi bermagnitud 7.5 skala richter melanda Sulawesi tempoh hari.

“Kanak-kanak ini mengalami perasaan takut dan trauma sekali gus memberi impak negatif kepada psikologi dan emosi mereka. Aktiviti yang dirancang adalah seperti program kesihatan, pendidikan, permainan, nyanyian dan bercerita secara tidak langsung membantu kanak-kanak tersebut mengalihkan perhatian mereka buat sementara waktu.

“MRA juga akan melaksanakan program bantuan air bersih yang sangat diperlukan penduduk di sana bagi tujuan minuman, kebersihan dan aktiviti ibadah. Pihak MRA akan menyediakan 15 buah tangki air yang setiap satunya berkapasiti 5,000 liter bagi menampung keperluan selama dua minggu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrizal Azwan berkata, kumpulan pertama pasukan perubatan MRA akan diterbangkan ke Palu pada 15 Oktober 2018 bagi memberikan bantuan kesihatan dan rawatan trauma tersebut.

“Pasukan perubatan itu terdiri daripada dua orang doktor, seorang pegawai farmasi dan dua orang jururawat serta dua orang sukarelawan am,” tambahnya.

MRA turut mengalu-alukan sumbangan kepada ‘Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Sulawesi’ khusus untuk membantu mangsa-mangsa yang terjejas.

Sebarang sumbangan daripada rakyat Malaysia boleh dibuat melalui akaun Public Bank 39885 91608 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation. – UTUSAN ONLINE