Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Dr. Mohd Daud Sulaiman berkata, program pascabanjir di Pulau Pinang itu diteruskan dengan kerjasama sukarelawan dari warga kerja dan mahasiswa RCMP(Royal College of Medicine Perak), UniKL dan Gerakan Belia 4B Pulau Pinang. 


“Sukarelawan dari RCMP dan UniKL telah menghulurkan bantuan dengan membantu membersihkan beberapa kediaman penduduk2 kampung tersebut di samping menyumbang peralatan elektrik dan alat penapis air. 


“Pasukan perubatan MRA juga telah memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada Maahad Tahfiz Baitul Quran di Tasek Gelugor. Bantuan makanan asas dan sumbangan wang tunai dari orang ramai juga telah diserahkan oleh MRA Pulau Pinang kepada pentadbir Maahad untuk meringankan kesulitan yang dialami oleh penghuni Maahad akibat musibah banjir.” ujarnya dalam satu kenyataan. 


Sementara itu, Dr. Mohd Daud memberitahu, Dengan keadaan banjir yang telah hampir pulih sepenuhnya, MRA Pulau Pinang dan Kedah telah menutup bilik gerakan dan depoh barangan mereka semalam. 


Walaubagaimanapun, MRA sentiasa memantau situasi dan amaran banjir dari pihak berkuasa tempatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk turut sama-sama menghulurkan bantuan jika diperlukan.

“Rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan bantuan kepada Tabung Bencana Banjir MRA yang telah diwujudkan, sila hulurkan sumbangan anda ke akaun Public Bank Berhad 398891608 di atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.” ujarnya.-UTUSAN ONLINE