Pengarahnya,  Dr. Mohammad Omar berkata, mereka merupakan 36.5 peratus daripada 556 individu yang secara sukarela mendaftar bagi mengikuti program  itu di klinik-klinik  kesihatan di negeri ini.

Daripada jumlah tersebut, katanya, seramai 35 daripada 60 pelanggan iaitu 58.3 peratus yang mendaftar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini berjaya berhenti merokok, menjadikan daerah ini mencatat peratusan kejayaan paling tinggi.

“Mengikut Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan pada 2015, dianggarkan 22.8 peratus daripada hampir lima juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas adalah perokok.

“Merokok merupakan antara penyebab utama kepada penyakit kanser dan kerana itu Kementerian Kesihatan menyediakan pelbagai program  untuk membantu mereka menangani masalah ketagihan,” katanya.

 Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam teks ucapan yang disampaikan oleh

Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) jabatan itu, Dr. Mohd Jusoh semasa melancarkan Sambutan Hari Kanser Sedunia dan Pelancaran Nafas Baru Bermula Ramadan peringkat negeri di sini semalam.

Antara pengisian program ialah senamrobik, ‘berjalan untuk kanser’ di samping pameran, penyampaian anugerah kepada klien yang berjaya berhenti merokok serta anugerah saringan kanser kolorektal & kanser serviks tertinggi negeri 2017.

Katanya, pelancaran Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan diadakan sebagai usaha membantu perokok untuk berhenti merokok dengan menjadikan ketibaan bulan itu untuk terus mengukuhkan azam.

Dalam pada itu Dr. Mohammad memberitahu, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) menanggung lebih RM205 juta kos rawatan pesakit kanser di seluruh negara.

“Kanser dikaitkan dengan lima tingkah laku iaitu berat badan berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayuran, kurang aktiviti fizikal, merokok dan pengambilan alkohol,”ujarnya. - UTUSAN ONLINE