Sehubungan itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Hasan Mad mencadangkan supaya satu panel penasihat rasmi kepada institusi raja ditubuhkan bagi memastikan pandangan yang diterima seimbang, tepat dan berwibawa.

Berikut adalah kenyataan penuh Hasan:

MPM mengikuti secara dekat isu penarikan semula penyertaan Malaysia sebagai anggota Statut Rom susulan suara kegusaran daripada raja-raja Melayu, khususnya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

MPM merafak sembah menjunjung kasih kepada duli-duli Tuanku yang ternyata telah membuktikan betapa raja-raja Melayu kekal relevan di dalam mempertahankan kedaulatan institusi tersebut. Ini khususnya melalui penzahiran kegusaran terhadap polemik sama ada Statut Rom boleh menjejaskan tanah air dengan beberapa pandangan ahli akademik, sejarawan dan pengamal undang-undang bahawa statut tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama, MPM telah meneliti beberapa aspek perundangan berkaitan isu Statut Rom ini dan berpandangan bahawa polemik yang berlaku tidaklah semudah yang disangkakan sebagaimana dibincangkan secara meluas dalam kalangan rakyat Malaysia dalam arena media sosial. Dengan kedudukan Malaysia yang semakin mendapat perhatian bukan sahaja dari sudut geo-politik mahupun ekonomi, sesuatu keputusan untuk menyertai atau tidak mana-mana triti antarabangsa perlu diperhalusi secara mendalam oleh pihak kerajaan bagi memastikan manfaat yang diperolehi mengatasi mafsadah kepada negara.

Pada hemat MPM, oleh kerana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 38(4) yang memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja untuk menggubal undang-undang yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran baginda-baginda, maka sewajarnyalah isu sepenting Statut Rom ini tidak menjadi perkara yang diteliti sekadar secara adhoc oleh ahli-ahli akademik atau pakar yang dirujuk apabila timbul sesuatu permasalahan. Hal ini pada hakikatnya menafikan hak raja-raja Melayu untuk memperolehi pandangan yang seimbang, tepat dan berwibawa oleh kerana kemungkinan wujud pemerhatian yang kurang tepat mahupun elemen-elemen partisan terhadap sesuatu isu yang melanda negara yang memerlukan pada perhatian, pandangan serta nasihat raja-raja Melayu apabila proses mendapatkan nasihat tersebut tidak dilakukan secara teliti seperti yang berlaku semasa episode Statut Rom ini.

Justeru, MPM berpendirian mengulangi saranan kepada pihak Majlis Raja-Raja dan kerajaan untuk menubuhkan satu panel penasihat kepada institusi raja-raja Melayu yang menjalankan tugas dan peranan seperti Privy Council kepada Istana Buckingham. Saranan MPM ini telahpun dikemukakan pada 8 Jun tahun lalu sebagai mekanisme yang berfungsi sebagai panel penasihat rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Istana membabitkan kepentingan, kedaulatan Melayu, Islam serta institusi raja-raja Melayu. Mengambil contoh daripada tradisi Britain, Privy Council adalah badan penasihat kepada raja dan adalah salah satu bahagian tertua dalam pengaturan perlembagaan Inggeris, dengan asalnya sejak sekurang-kurangnya di abad ke-13.

Di Britain, Privy Council tersebut menasihatkan ratu menjalankan tugasnya, termasuk pelaksanaan prerogatif diraja dan fungsi-fungsi lain yang ditugaskan kepada pemerintah oleh Akta Parlimen. Walaupun beberapa fungsi dan kuasa Privy Council tersebut bersifat upacara rasmi, namun terdapat fungsi berkaitan dengan perkara kepentingan perlembagaan.

Dalam konteks cadangan MPM, Panel Penasihat (Privy Council) kepada institusi raja-raja Melayu ini disyorkan dianggotai negarawan dihormati masyarakat yang boleh menasihatkan, menyuarakan pandangan, pertimbangan adil serta pengalaman mereka kepada institusi raja-raja Melayu. Individu yang dilantik boleh mencermati segala pandangan pakar, ahli akademik mahupun tokoh perundangan dan ekonomi yang ingin menyembah maklum pendirian mereka mengenai sesuatu isu kepada raja-raja Melayu.

Panel Penasihat bolehlah menapis terlebih dahulu sesuatu isu sebelum dipersembahkan ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja, atau pun kepada Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu barulah mereka mengeluarkan nasihat yang berkesan untuk keputusan eksekutif yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja yang bebas, berwibawa serta dihormati kerajaan dan rakyat secara umumnya.

MPM telah sebelum ini mencadangkan agar keanggotaan Panel Penasihat ini boleh dilantik daripada kalangan bekas Ketua Polis Negara, bekas Ketua Hakim Negara, bekas Panglima Angkatan Tentera, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, atau bekas Mufti, serta pakar-pakar mengikut bidang tumpuan masing-masing. Panel Penasihat ini perlu dimaktubkan dengan kuasa eksekutif untuk memanggil pakar-pakar, meneliti input dan hujah mereka, memilih serta memperhalusi pandangan terbaik mengenai sesuatu perkara sebelum disembah maklum kepada raja-raja Melayu.

Seperti yang pernah ditegaskan MPM sebelum ini, anggota panel penasihat ini bukan hanya berbangsa Melayu dan beragama Islam tetapi boleh dianggotai pakar daripada etnik dan agama lain termasuk dari Sabah, Sarawak yang boleh berkongsi idea serta kepakaran bagi menjaga hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Tugas Panel Penasihat tidak akan bertindih dengan fungsi Majlis Raja-Raja, yang dianggotai sembilan raja Melayu dan empat Yang DiPertua Negeri, sebaliknya menerima titah daripada Majlis Raja-Raja secara langsung untuk menyediakan nasihat eksekutif berhubung isu-isu yang memerlukan perhatian segera dan mendesak daripada Duli-duli Tuanku.

Harapan MPM agar kita semua mempelajari dari beberapa kemelut sebelum ini bagi dijadikan iktibar, betapa pentingnya penubuhan dan peranan Panel Penasihat (Privy Council) ini kepada institusi raja-raja Melayu. Ia adalah kuasa institusi ini menentukan samada Panel Penasihat itu sesuatu yang amat perlu. Pandangan MPM begitulah adanya. - UTUSAN ONLINE