Bagi memulakan usahasama itu, mereka membentuk kerjasama dengan dua syarikat Korea Selatan iaitu pakar dalam teknologi EV iaitu Saean Motor dan pakar teknologi bateri, 2B4G.

Dalam pertemuan di Wisma MPM di sini hari ini, MPM dan GCG membawa Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk membentuk satu kerjasama dengan Saean Motor dan 2B4G bagi aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan dan pendidikan, inkubator dan keusahawanan, pembawaan budaya kerja dan disiplin kerja tinggi serta kompetitif.

Syarikat dari Korea Selatan itu melihat UMP sebagai rakan yang komited dan penuh semangat selain telah memiliki beberapa program terutama dalam bidang R&D yang amat mengagumkan.

Pada pertemuan itu, MPM diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Hasan Mad manakala GCG oleh Pengerusinya, Kang Sung-tae serta Pengurus Besarnya, Daniel Kum.

Saean Motor pula diwakili Presidennya, John Lee manakala 2B4G oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Son Chang-woo.

UMP pula diwakili Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Prof. Ir. Kamarul Hawari Ghazali; Dekan Penyelidikan (Teknologi), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Jose Rajan; Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) fakulti itu, Prof. Madya Dr. Hamdan Daniyal dan Pensyarah Kanannya, Dr. Nurul Hazlina Noordin.

Dalam pada itu, Lee melahirkan kekaguman dengan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki oleh UMP termasuk dalam bidang nanokarbon.

“Saya juga akan memperkenalkan rakan kongsi perniagaan saya untuk membantu dalam penghasilan teknologi baharu dan le­bih moden. Kami akan memainkan peranan sebagai sistem sokongan dalam membantu pembangunan dan ciptaan baharu oleh Malaysia.

“Hubungan perniagaan dan pasaran Malaysia yang terbuka juga dilihat akan membantu dalam membangunkan industri ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Hamdan pula berkata, beliau melihat kerjasama itu akan membawa kepada pembentukan satu ekosistem baharu dalam industri dan pada masa sama mengembangkan industri ke satu tahap lebih tinggi.