Skuad Hammers kini menduduki tangga ke-18 dalam carta liga dan bolos 23 gol, iaitu paling banyak berbanding kelab lain dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Pengendali dari Scotland itu menggantikan Slaven Bilic pada Selasa lalu berkata, dia akan melakukan yang terbaik demi menaikkan semula prestasi kelab tersebut.

“Saya menjadi penyokong bola sepak setiap hari. Saya sukakan permainan secara menyerang dan dapat menjaringkan gol.

“Bagaimanapun ada kalanya menjaringkan gol juga tidak bagus jika anda gagal mencipta kemenangan. Sebab itu pentingnya bahagian pertahanan.

“Kami perlu memulakannya dari kekurangan tersebut, cuba dapatkan kemenangan tanpa bolos. Ketahui sama ada empat atau tiga pertahanan adalah yang terbaik bagi kami menerusi pemain sedia ada serta mereka harus bijak menutup kekosongan di bahagian lain.

“Saya fikir kami sudah cukup baik di bahagian serangan untuk mendapatkan kemenangan dan jaringan. Cuma kami akan cuba cari jalan penyelesaian bagi menghalang West Ham terus dibolosi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Moyes, yang memulakan karier sebagai pengurus pasukan di Preston North End, memiliki reputasi baik ketika mengendalikan Everton pada 2002 hingga 2013, yang mana pasukan itu berjaya menamatkan saingan Liga Perdana di kelompok lapan teratas sebanyak sembilan kali.- REUTERS