Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak, Nga Kor Ming berkata, jumlah itu termasuk kemerosotan nilai aset sebanyak RM186.5 juta dan kerugian kemerosotan nilai atas penghutang bukan dagangan sebanyak RM90.4 juta.

“Sejak lima tahun dahulu, kita sudah berkali-kali mengingatkan kerajaan negeri untuk tidak melibatkan diri dalam pembinaan taman tema bernilai ratusan jutaan ringgit. Namun, kita merasa kesal kerana segala nasihat dan teguran itu telah diabaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Asalnya, projek ini melibatkan pelaburan swasta dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) hanya memberikan hak milik tanah. Namun kini, syarikat milik kerajaan negeri, Perak Corporation Berhad me­rupakan pemegang saham terbesar dalam projek MAPS dengan jumlah pelaburan sebanyak RM248 juta duit rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang akhbar di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak mahu audit forensik berkenaan dijalankan bagi mengesan sebarang kegiatan salah laku atau penyelewengan untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Tugas kerajaan negeri bukan untuk membina taman tema dan kini ia umpama ‘biawak hidup’ yang terpaksa kita pikul,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu barisan kepemimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memohon maaf sebelum keputusan siasatan audit forensik tersebut dikeluarkan.